Friday, April 8, 2011

Merealisasikan Mimpi!

Benarkah mimpi hanya wujud di alam tidur? Benarkah ia sekadar mainan minda dan angan? Sekadar fantasi di lautan ingin?

Argh, bukan senang untuk mencapai apa yang kita impikan. Bukan mudah untuk mencicip enaknya kejayaan. Lurah dan liku tajam menusuk. Ada duri dalam sekam. Apatah lagi sembilu yang zahirnya agak kelihatan.

Aku termenung panjang. Dahan yang kusangkakan teguh, rupanya rapuh. Malah turut ‘menghadiahi’ selumbar yang dalamnya tidak mungkin tidak, bakal bernanah. Jua kemilau harap yang rupa-rupanya biasan tebu di bibir. Benarlah kata seorang tua kepadaku sewaktu dulu. ‘Trust no one, but yourself. Not even your family and spouses.’

‘How about God? ‘

‘Sure,’ he said, ‘have faith, but don’t rely on others in full. Delegate works, but be prepared to be disappointed in other’s result.’

Aku mahu merealisaikan mimpiku. Sampai bila mahu bergantung kepada orang lain bagi kelangsungan hidup. Penatnya tidak terkata, tetapi hasilnya tidak mampu membuatkan aku tersenyum lebar. Terkadang, bukan material menjadi ukuran, tetapi kepuasan dan ‘bekalan’ untuk Dian dan mereka yang lain menjadi keutamaan.

Menyedari hakikat diri yang kurang mampu berkarya serajin orang lain, aku beralah. Terlalu banyak perkara di minda membuatkan aku tidak mampu untuk betul-betul berkarya sebagus, sekerap dan sebebas dahulu. Bukan merendah diri, tetapi aku sedar kekuranganku. ‘Membersihkan’ dan ‘mencantikkan’ karya. Itu kekuatanku.

Dan apabila melihat karya itu mendapat sambutan dan menerima pujian atas mutunya, ia menjadi satu ‘bayaran’ yang tidak ternilai. Memberi ‘santapan’ minda kepada para pembaca adalah satu kepuasan dan ‘saham’ untuk ke sana. Melihat pengkarya menjadi ternama dan menerima imbuhan yang bukan sedikit menimbulkan sedikit ralat. Tidak dinafikan, iri itu ada. Tetapi ia bernada positif. Agar diri turut sama aktif berkarya seperti mereka. Tidak lebih daripada itu.

Alangkah susahnya merealisasikan mimpi!

Tuhan, restuilah aku!