Friday, May 29, 2009

AKU DAN BUKU

"All good books are alike in that they are truer than if they really happened and after you are finished reading one you will feel that all that happened to you afterwards it all belongs to you ; the good and the bad, the ecstasy, the remorse and sorrow, the people and the places and how the weather was" - Ernest Hemingway.


Aku gila buku. Aku cinta buku. Aku kasih akan buku. Tanpanya hidupku hilang seri. Hari-hariku terasa kosong kalau tidak bersua. Hidupku seakan kehilangan makna. Dialah peneman paling setia dan akrab di mana sahaja aku berada.

Ruang tamuku penuh buku. Dapurku pun ada buku. Bilikku semestinya perlu buku. Sebelah bantalku, selain daripada kitab suci, sekurang-kurang akan ada tiga buah buku menemani pembaringanku. Dan aku tidak boleh tidur tanpa membaca buku terlebih dahulu. Tak kira sepenat mana atau sesibuk mana. Lenaku turut bersamanya, terkadang menjadi mangsa tubuhku yang ketiadaan roh sementara.

Aku membesar bersama buku. Walaupun asalku dari kampung yang serba kekurangan, sejak aku mula tahu mengeja dan membaca seawal usia tiga tahun, aku mula berkawan dengan buku. Mengembara ke alam buku. Aku tidak memilih buku. Malah, kertas surat khabar yang menjadi alas pembungkus makanan pun turut kubaca. Kadang-kadang sehingga dimarahi ibuku kerana ia kubaca semasa makan. Majalah juga tidak terkecuali. Dan kegilaan dan kecintaanku terhadap bahan bacaan terus subur sehingga kini. Tambahan pula kini aku mempunyai sumber kewangan sendiri untuk dibelanjakan terhadapnya.

Sehingga kini, Reader’s Digest, The Malaysian Women’s Weekly dan National Geographic menjadi langganan atau dibeli terus dari kedai buku. Setiap bulan, aku pasti menjadi pengunjung setia took buku mencari judul-judul terbaru ataupun sekadar melengkapi koleksi para penulis yang kuminati. Pernah satu ketika dahulu, ketika ekonomi peribadiku mengizinkan, aku menghabiskan kurang lebih tiga ribu ringgit dalam masa kurang dua jam semata-mata untuk buku! Kronik kan ‘chinta’ku ini! Namun sekarang, aku lebih matang dalam pengurusan kewangan, ‘kegilaan’ ini berjaya dikawal! Tetapi kadang kala terbabas jugak! J

Semuanya istimewa bagiku. Semuanya mempunyai ilmu dan pengajaran tersendiri. Semuanya bermakna bagiku. Semuanya memberi pengalaman berbeza. Melalui buku-buku autobiografi dan motivasi, aku belajar mengutip pengalaman dan semangat serta inspirasi dalam meniti perjalanan hidup. Dalai Lama mengajarku erti semangat dan ketenangan. Tun Mahathir mengenalkan aku erti ketokohan dalam politik dan memahami asal bangsaku. Robert J. Furey, Bomback, S.J. Dresner, Kubler-Ross dan beberapa orang lagi mengajarku erti kemanusiaan dan penerimaan terhadap takdir Tuhan agar lebih kendiri dan kuat serta mampu menjadi pasak kepada orang lain.

Buku-buku akademik tentang atom dan molekul, kalkulus, enzim dan surfaktan, fizik kuantum dan nukleus pernah bersamaku sepanjang proses mencari ilmu. Namun kini minatku lebih terarah kepada fiksyen. Mungkin mindaku sudah tepu bergelumang dalam dunia ilmu sedikit masa lalu dan inginkan dunia nyata yang lebih mengasyikkan!

Dan bila mood romantikku datang, aku berhibernasi dengan Nicholas Sparks, Julie Garwood, Barbara Taylor Bradford, Judith Micheal, Sandra Brown dan Danielle Steel. Apabila aku kesasar dalam diri, aku mencari Luanne Rice, Rosamunde dan Robin Pilcher dan Meave Binchy, untuk mencari makna dan pengertian hidup dalam erti kata sebenar.

Seringkali aku teruja dalam dunia triller, adventure penuh variasi ilmu Matthew Reilly, Dan Brown, James Patterson, Tom Clancy, Robert Ludlum, Ramlee Awang Mursid, Jeffry Archer, John Grisham, Steve Martin, Anthony Horowitz, Charlie Higson, Robert Muchamore, Faisal Tehrani dan ramai lagi penulis berbakat di luar sana. Malah Kate Mosse dan Titania Hardie amat memukauku dengan historical fiction nya yang lancar bergaya dan penuh fakta serta ilmu. Namun kegemaranku adalah hanyut di dunia fantasi penuh magik dan keajaiban J.R. Tolkien, J.K. Rowling, David Eddings, Terry Goodwind, Ahmad Patria Abdullah, Stephen King, Anne Rice dan beberapa penulis fantasi tersohor yang aku lupa namanya.

Tidak lupa juga aku mengasah minda dan mengutip ilmu dan rasa melalui pembacaan S.M. Zakir, Zean Kasturi, Fudzail, Isa Kamari, Abdul Hadi Yusoff, Paulo Coello, A. Samad Said, Aziz Deraman, Anwar Ridhwan, Arenawati, Kahlil Gibran dan Hamka.

Ahh….terlalu ramai penulis yang karyanya menjadi teman hidupku. Tidak semua nama aku paparkan di sini, kerana untuk berbicara tentang kesemuanya, penulis dan bukunya, yang menjadi koleksi peribadi, aku memerlukan ruang dan masa yang panjang.

Buku menjadi satu elemen yang penting dalam hidupku. Selain daripada mencari punca ilmu, ia menjadi sumber hiburan dan escapism daripada hidup yang kurang indah. Menjadi penguat semangat tatkala motivasi diri berada dalam paras bahaya. Seringkali aku lupa diri apabila bersama buku sehinggakan lalai untuk makan dan tidur. Dan selepas menghabiskan sesebuah buku yang bagus, aku diserang perasaan sedih yang teramat sangat kerana terpaksa berpisah dengannya. Apatah lagi karya yang menyentuh rasa. Selalu jugak aku menangis apabila menghabiskan sesebuah buku.

Pada masa yang sama, aku merasa amat puas, mindaku terbuka untuk belajar perkara atau ilmu baru tentang budaya, sejarah serta falsafah hidup melaluinya. Jiwaku seakan-akan berada dalam dunia tersendiri.

Hmmm…berbicara tentang buku sahaja membuatkan aku berasa teruja dan ‘hidup’. Cukuplah dulu tentang ini walaupun aku mampu terus berbicara tanpa henti mengenainya. Tak sabar pula untuk meneruskan kembara ilmu dan jiwa dengan pembacaanku seterusnya.

Jadi, ada yang turut segila aku tentang buku?

No comments:

Post a Comment