Thursday, July 16, 2009

Kingdom of Buyau Part II


Kisah Seorang Ibu



Aku terkesan sesuatu dalam kembaraku yang ringkas kali ini. Menghabiskan masa bersama Makcik membuatkan aku sedar tentang sesuatu. Sebenarnya, kesedaran ini telah lama wujud dalam jiwaku, cuma tidak terluah oleh kata-kata. Mungkin ia perkara biasa bagi sesetengah orang. Mungkin ada yang tidak pernah merasainya. Mungkin ada yang tidak langsung menunjukkan sebarang reaksi tentang ini. Hati seorang ibu. Kasih sayang seorang ibu. Kesunyian seorang ibu.

Well, tidak banyak yang mampu kuperkatakan tentang ini. Lidahku kelu. Cuma apa yang dapat aku simpulkan setelah banyak menghabiskan masa bersama insan-insan yang bergelar ibu ini cuma satu. Mereka berhati mulia! Tidak kira apa bangsa, keturunan atau agama mereka, melalui pengalamanku, mereka mahukan yang terbaik untuk anak-anak mereka. Apabila mereka jauh di mata, kerinduan itu meruntun naluri. Dan kesepian ditinggalkan anak-anak dan cucu-cucu yang sibuk membina hidup dan mencari rezeki di kota, membuatkan mereka nanar dalam rindu dan sepi. Apalagi bila sendirian. Aku faham amat.

Mungkin ada yang suka bercoleteh dan kerap meluahkan ketidakpuasan rasa terhadap anak-anak mereka kepada orang asing (seperti Makcik), namun aku tahu, niat mereka baik. Biasalah! Mereka cuma mahu meluahkan isi hati mereka kepada orang yang sudi mendengar, walaupun bukan pada darah daging sendiri. Dan anak-anak sendiri, kadang-kadang muak mendengar perkara yang sama saban masa, sehingga terabaikan hati seorang ibu tanpa sedar atau sengaja. Terfikir juga, mungkin aku pun ada ‘terbuat’ begitu. Ampun Mek!

Aku bersyukur Tuhan memberikan aku kebolehan dan kesabaran dalam komunikasi dengan golongan berusia ini. Walaupun ada kalanya, hampir tercabar juga dengan karenah mereka! Mungkin kerana aku daripada keluarga yang besar dan sentiasa dipenuhi riuh saudara dan taulan, jadi aku mampu menyelami isi hati mereka. Dan ketika berkunjung ke rumah rakan-rakan, menghabiskan masa di dapur bersama ibu-ibu, bergurau senda dan menimba ilmu baru lewat perbezaan adat, budaya dan kebiasaan, membuatkan aku sarat dengan emosi dan pengalaman, harap-harapnyalah! Bukan apa, mereka cuma perlu teman untuk berbicara, untuk dimanjakan, untuk diajak berkongsi hidup. Walaupun banyak berbeza pendapat dan kemahuan, iyakan saja segala bicara mereka. Dan hargailah mereka. Itulah yang paling berharga daripada memberikan harta dunia yang entah apa-apa!

Kembara singkat ini, selain manggis, aku habiskan dengan menemani Makcik membersihkan daunan kering, sampai terluka tangan (padan muka!), menyiapkan hidangan dengan Makcik sebagai tukang tengok, bertengek di sebiji kelapa tua di tengah kebun dalam sesi temubual tak rasmi di tengah hari dan bicara lewat kegelapan malam sambil menunggu kantuk tiba membuatkan aku tiba-tiba rindu pada Mek. (p/s: aku orang Timur, jadi panggilan Mek lebih akrab berbanding ibu atau mak)

Mek juga seperti Makcik. Namun, oleh kerana kami keluarga yang besar, jadi dia tidak perlu meluahkan pada orang luar, cukup dengan kami anak beranak. Biasanya akulah yang jadi mangsanya. Sebab aku belum berpunya dan tidak banyak tanggungjawap (padan muka lagi!). Adik aku buat silap, aku yang kena leter. Mek tak puas hati dengan abang aku atau kakak ipar aku, aku yang tukang dengar bebelannya. Kakak aku buat hal, aku yang jadi kaunter lepas geram dia. Dan kalau dia tak puas hati dengan kedegilan aku, as usual :), kakak aku yang dia cari!

Aku akui, aku amat jarang menghabiskan masa bersamanya sejak aku berhijrah ke bandar. Walaupun punya sebab-sebab tertentu (terlalu peribadi untuk dikongsi bersama, cuma beberapa orang yang tahu!) yang tidak perlu diterangkan, jauh di sudut hati, aku merindui masa-masa bersamanya. Seperti zaman kanak-kanakku dahulu, sebelum aku melangkah ke alam asrama penuh, kolej dan seterusnya universiti. Sekarang aku cuma pulang untuk hari raya puasa. Demi Mek. Itupun bukan setiap tahun. Maaf Mek, aku punya sebab untuk itu. Aku tahu dan sedar, kau memahaminya walaupun tidak ke akar umbinya.

Dulu, aku sering menemaninya membuat kuih-kuih untuk jualan, kadang-kadang sampai jam tiga atau empat pagi. Masa itu , kakak dan abang sama ada telah dibuai mimpi, atau jauh menuntut ilmu. Itulah masa aku dengannya. Maklumlah, dalam bilangan ahli keluarga yang ramai, agak susah untuk mendominasi masa dan perhatiannya. Tambahan pula, aku bukan orang yang suka bercakap tanpa isi. Dan kala malam atau dinihari itu, bertemankan api pelita (masa itu, rumahku tiada bekalan elektrik), aku dengan bukuku dan dia dengan kerjanya! Dan sambil-sambil itu, dia akan bercerita denganku. Tentang alam. Tentang agama. Tentang pengorbanan. Tentang hidup.

Betapa aku rindukan saat itu! Mek, hujung minggu ini aku pulang!

No comments:

Post a Comment