Saturday, March 6, 2010

Terkadang aku merasakan hidup ini amat pelik. Melihatkan perkara berlaku di depan mata membuatkan aku terfikir akan erti sebenar hidup. Apa tujuan sebenar sebuah perkahwinan. Tiba-tiba aku terasa sayu. Ada air jernih tanpa pinta mengalir di pipi. Entahlah!

Aku terkedu melihat kelakuan seorang ‘kawan’. Kisah hidupnya bagiku amat ‘licin’ dan memuaskan. Sempurna serba serbi. Ada kerjaya yang baik. Ada rupa dan keluarga yang baik, kukira. Dan bertemu jodoh dengan lelaki yang baik. Hidupnya serba lengkap. Tiada kekurangan. Apa yang dihajatinya pasti akan dipenuhi.

Selepas kahwin, dia masih lagi dengan sikapnya. Minum dan bertukar-tukar pasangan. Berpeleseran dengan kawan-kawan. Dan menggunakan alasan kerja atau bermalam di rumah ‘kawan’ untuk menutup mabuk dan aktiviti sosialnya. Cuma apa yang menyedihkan aku ialah sikapnya. Terkadang aku terfikirkan pasangannya yang kudengar cukup baik dan alim. Tahukah dia siapa sebenarnya wanita yang menjadi pasangan hidupnya? Atau sengaja tidak ambil tahu? Atau begitukah kehidupan mereka?
B33Tidak kunafikan dalam dunia moden ini, lagi-lagilah orang bandar, setiap pasangan mempunyai hak kebebasan masing-masing. Entahlah, mungkin aku saja, orang kampung yang masih kolot, mungkin! Aku fikir, bila bertemu jodoh dengan lelaki yang baik, dia akan semakin baik. Tapi….

Mendengar bicara orang, kukira dia seharusnya bersyukur dengan takdirnya. Dalam dunia sekarang di mana orang lain serba kurang lengkap dari segi kerjaya atau pasangan, dia bagiku amat bernasib baik. Cukup bertuah. Tapi itu yang aku nampak. Luarannya. Dalamannya, aku tidak tahu. Bagi aku yang masih sendiri dan terkapai-kapai meneruskan kelangsungan hidup, aku sedih. Sangat sedih. Tidakkah dia tahu bahawa di luar sana, berapa ramai yang ingin menikmati apa yang dimilikinya?

Ini membuatkan aku terfikir sendirian. Apa sebenarnya tujuan hidup dan perkahwinan? Sekadar memenuhi keinginan nafsu? Atau memenuhi norma hidup semata? Entahlah! Terlalu sukar bagiku menerimanya. Mungkin hidup ini memang pelik!

No comments:

Post a Comment