Sunday, January 24, 2010

Pagi Ini...

Pagi ini, sesuatu yang indah berlaku. Dalam rutin harian. Kecil sahaja. Namun terselit keindahan.
Bilikku betul-betul menghadap menara KLCC. Jelas berada atas rimbunan kehijauan flora dari jendelaku. Ada rel LRT antara puncak pokok dan bangunan batu/besi itu. Sesekali, sampai ketikanya, ada LRT melaluinya.

Hari masih terlalu pagi. Namun, suria mulai memancarkan sinar dan habanya. Seperti biasa, aku mengabdikan diri di meja kerja, usai Subuh. Itu rutinku. Sama ada bermain dengan aksara, atau menyambung pembacaan di katil sebelum bersiap ke tempat kerja. Semalam, sebelum tidur, aku baru menghabiskan pembacaan The Lizard’s Bite oleh David Hewson, jadi aku mahu ada jeda sebelum memulakan buku yang baru. Jadi, aku menulis pagi ini.

Tiba-tiba, larian LRT pada relnya membiaskan kilat sinaran suria dari cermin-cerminnya ke muka komputer ribaku. Terpancar ke kornea mataku. Aku yang sedang tenggelam dalam kerja, kembali menggapai realiti. Biarpun sekilas, biasan keemasan itu meninggalkan momen positif dalam jiwa. Ketenangan tanpa pinta. Aku bahagia.

Masih ada sinar cahaya untukku. Terima kasih, Tuhan! Semoga sinar-Mu membiasiku sepanjang hayat. Amin!

No comments:

Post a Comment