Menjelang senja tadi, semasa merenung ke arah langit kermizi, sambil menanti ketibaan kegawung keemasan seperti kebiasaanku, aku terpandang sekumpulan burung terbang bebas di dada langit. Walaupun dari kejauhan, sayup bunyinya masih mampu menyapa pendengaranku. Pantas kusambar binocular dan meneropong ke arah mereka. Ingin melihat dengan lebih jelas.
Mulanya mereka bertaburan terbang bebas di angkasa. Sedikit rasa cemburu terputik di hati melihat kebebasan mereka. Apakan, daya, azaliku sebagai manusia tidak membenarkan semua itu. Namun setelah seketika, melalui corong teropongku, aku dapati mereka mula membentuk satu formasi seakan-akan bentuk V. Daripada beberapa kumpulan kecil yang terpisah dan terbang bebas, mereka mula berkumpul sebagai satu kumpulan yang besar. Agakku, mungkin mereka sudah penat ‘bermain’ sesama sendiri dan secara telepati, merasakan sudah tiba masa untuk pulang. Lalu bergabung membentuk formasi tersebut.
Pantas mindaku terimbau akan satu rencana di National Geograpic Channel tentang hukum alam tersebut. Oleh kerana hakisan memori akibat pertambahan usia, fakta-fakta saintifiknya tidak mampu kuhuraikan secara menyeluruh. Tapi intinya lebih kurang begini. Sebenarnya burung-burung memerlukan satu sama lain untuk terbang lebih jauh. Pada awalnya, masing-masing boleh bergantung kepada kekuatan sendiri untuk terbang tetapi lama kelamaan, tenaga mereka makin berkurangan. Dengan seekor burung mengetuai ‘penerbangan’, burung-burung lain secara automatic akan mengambil tempat di kiri dan kanan ‘ketua’ burung itu secara sekata sehinggalah bilangan burung pada ‘sayap’ kanak dan kiri seimbang. Dengan ini, mereka dapat menambah momentum untuk terbang lebih jauh dan lebih lama.
Hebatkan hukum alam! Betapa agungnya kuasa Sang Pencipta. Seperti kawanan burung tadi, kita juga sama. Betapa jauh dan lamanya kita ‘terbang’ sendirian, akhirnya kita akan lelah dan memerlukan sokongan untuk terus ‘terbang’. Kita kembali ke lumrah kehidupan bahawa kita tidak mampu untuk terus berkeseorangan di dunia ini. Setiap kita memerlukan pasangan dan teman-teman untuk bergantung harap, berkongsi ria dan gundah serta menyandar semangat untuk kelangsungan sebuah kehidupan.
Dan bila ini berlaku, dengan pasangan atau teman yang memahami, membantu dan setia, kita akan mampu untuk terus ‘terbang’ hingga ke hujung dunia!
Alangkah!
No comments:
Post a Comment