Showing posts with label kembara. Show all posts
Showing posts with label kembara. Show all posts

Saturday, February 20, 2010

Balik Kampung 2

Sudah belasan tahun aku tidak naik bas ekspres untuk pulang ke kampung. Biasanya menumpang kakak atau abangku. Tetapi kali ini, mereka ada urusan penting dan tidak boleh pulang awal. Dan banyak barang yang perlu dibawa pulang terlebih dahulu. Cuma aku yang tiada aral. Aku tidak mampu memandu, dan masa suntuk, jadi bas menjadi pilihan. Kalau ikutkan hati, aku tak mahu pulang. Namun, demi kakakku yang seorang ini, aku redha.

Aku sebenarnya tidak gemar membawa barang banyak jika menggunakan pengangkutan awam. Cukup sekadar apa yang mampu aku bawa. Namun, kali ini, aku diamanahkan membawa balik beberapa kotak berisi barangan keperluan majlis perkahwinan kakakku itu. Lagipun abang ipar sekeluarga mahu menghantarku ke Hentian Putra dan kakakku itu berjanji akan mengambilku di bandar. Jadi aku okey sahaja. Aku bersaing dengan masa menyelesaikan urusan penting di ibu kota sebelum pulang. Hampir-hampir tertinggal bas kerana aku mahu solat Isyak di rumah dahulu sebelum bertolak.

Sepanjang perjalanan, aku tension! Orang dibelakangku asyik bercakap dengan handphonenya. Kuat pulak tu! Macamlah dia sorang yang busy! Dan ada baby yang kadang-kala menangis. Lelaki di depanku pula, asyik merendahkan seatnya, menggangu sahaja. Dan ada penumpang lain yang asyik memainkan dikir barat dalam MP3nya(kukira!). Aku sememangnya vampire, terkebil-kebil dalam kegelapan. Nak membaca, gelap. Nak main games di handphone, takut habis bateri. Susah bagi kakak menghubungiku nanti!

Jam 2 pagi, bas berhenti rehat di Merapoh. Biasanya tempoh rehat lebih kurang sejam, jadi aku ambil keputusan untuk minum. Dulu aku jarang turun, tapi memikirkan bosan dengan gelagat penumpang, aku turun. Aku membaca The Rose Labyrinth sambil minum. Seorang saja di meja bucu restoran. Berjaya menghabiskan dua bab sebelum kembali menaiki bas.

Apa yang mahu aku ceritakan ialah ketidakpusan hatiku dengan sikap. Attitude. Terutamanya orang-orang sebangsaku. Berlainan jantina. Aku ditegur sewaktu membaca dalam jeda waktu perjalanan. Katanya, mahu tunjuk rajin. Bukan seorang dua. Belum kira lagi yang menjeling. Sedangkan aku cuma mengisi masa daripada tercangak-cangak melihat keliling. Dan memang aku pantang membuang masa, tanpa aktiviti berfaedah. Aku tak boleh tidur, jadi, lebih baik aku membaca!

Aku bengang dengan sikap begini. Kalau mahu menegur atau sekadar ingin berbual, jadilah gentlemen! Susah sangatkah mahu memulakan perbualan dengan sopan? Tegur elok-elok dan kalau nak join, mintak izin duduk semeja denganku. Tak ada hallah! Tak salah menambah kawan. Atau mahu berkenalan. Aku tak makan oranglah! Makan nasi saja kekadang!)!

Itu satu! Satu lagi bila sampai di destinasi. Ramai penumpang sudah turun sebelum itu. Jadi, bila tiba di destinasi terakhir, hampir separuh sahaja yang tinggal. Aku antara mereka. Dan biasalah, akan dikerumuni driver teksi sapu ketika turun. Bila aku mahu mengambil kotak-kotakku di perut bas, kudapati satu daripadanya terbuka. Tali pengikatnya putus. Pakej-pakej bahulu bertaburan di lantai perut bas. Nasib baik sudah dipaketkan, kalau tidak?

Yang aku geram, lelaki-lelaki yang ada berdekatan aku tadi, driver teksi-teksi sapu, kelindan dan pemandu bas serta beberapa penumpang yang tinggal, boleh cakap dengan kuat, bahawa kotak aku terbuka. Barang aku berteraburan. Tetapi hanya tengok sahaja. Geram aku! Mahu tak mahu aku letak beg dan masuk ke perut bas. Nasib baik aku kecil saja. Muatlah aku merangkak masuk. Buat selamba. Geram sebenarnya.

Aku kaut paket-paket itu ke bahagian tepi, supaya senang aku memasukkannya ke dalam kotak yang terbuka tadi yang telah kuletakkan di bahagian tepi supaya tidak menganggu penumpang lain mengambil barang mereka. Sesudah aku berjaya mengumpulkan semuanya ke tepi, sambil menyumpah-yumpah dalam hati, sambil cuba menghubungi kakakku yang sudah sampai dan sedang mencariku, aku keluar dari perut bas dan mula memasukkannya ke dalam kotak. Orang-orang ‘tidak berguna’ itu masih lagi bercakap-cakap sesama mereka tentang keadaanku. Bukan mahu membantu. Tolong tengok saja!

Nasib baik adik lelaki dan anak buahku yang menemani kakakku sampai dan terus menolong. Kalau tidak, bayangkan aku terpaksa mengangkat kotak-kotak yang besar dan berat itu ke tepi jalan seorang diri! Dan kami beredar dari situ.

Dan sepanjang hari aku membebel tentang itu!

Thursday, July 16, 2009

Kingdom of Buyau Part II


Kisah Seorang Ibu



Aku terkesan sesuatu dalam kembaraku yang ringkas kali ini. Menghabiskan masa bersama Makcik membuatkan aku sedar tentang sesuatu. Sebenarnya, kesedaran ini telah lama wujud dalam jiwaku, cuma tidak terluah oleh kata-kata. Mungkin ia perkara biasa bagi sesetengah orang. Mungkin ada yang tidak pernah merasainya. Mungkin ada yang tidak langsung menunjukkan sebarang reaksi tentang ini. Hati seorang ibu. Kasih sayang seorang ibu. Kesunyian seorang ibu.

Well, tidak banyak yang mampu kuperkatakan tentang ini. Lidahku kelu. Cuma apa yang dapat aku simpulkan setelah banyak menghabiskan masa bersama insan-insan yang bergelar ibu ini cuma satu. Mereka berhati mulia! Tidak kira apa bangsa, keturunan atau agama mereka, melalui pengalamanku, mereka mahukan yang terbaik untuk anak-anak mereka. Apabila mereka jauh di mata, kerinduan itu meruntun naluri. Dan kesepian ditinggalkan anak-anak dan cucu-cucu yang sibuk membina hidup dan mencari rezeki di kota, membuatkan mereka nanar dalam rindu dan sepi. Apalagi bila sendirian. Aku faham amat.

Mungkin ada yang suka bercoleteh dan kerap meluahkan ketidakpuasan rasa terhadap anak-anak mereka kepada orang asing (seperti Makcik), namun aku tahu, niat mereka baik. Biasalah! Mereka cuma mahu meluahkan isi hati mereka kepada orang yang sudi mendengar, walaupun bukan pada darah daging sendiri. Dan anak-anak sendiri, kadang-kadang muak mendengar perkara yang sama saban masa, sehingga terabaikan hati seorang ibu tanpa sedar atau sengaja. Terfikir juga, mungkin aku pun ada ‘terbuat’ begitu. Ampun Mek!

Aku bersyukur Tuhan memberikan aku kebolehan dan kesabaran dalam komunikasi dengan golongan berusia ini. Walaupun ada kalanya, hampir tercabar juga dengan karenah mereka! Mungkin kerana aku daripada keluarga yang besar dan sentiasa dipenuhi riuh saudara dan taulan, jadi aku mampu menyelami isi hati mereka. Dan ketika berkunjung ke rumah rakan-rakan, menghabiskan masa di dapur bersama ibu-ibu, bergurau senda dan menimba ilmu baru lewat perbezaan adat, budaya dan kebiasaan, membuatkan aku sarat dengan emosi dan pengalaman, harap-harapnyalah! Bukan apa, mereka cuma perlu teman untuk berbicara, untuk dimanjakan, untuk diajak berkongsi hidup. Walaupun banyak berbeza pendapat dan kemahuan, iyakan saja segala bicara mereka. Dan hargailah mereka. Itulah yang paling berharga daripada memberikan harta dunia yang entah apa-apa!

Kembara singkat ini, selain manggis, aku habiskan dengan menemani Makcik membersihkan daunan kering, sampai terluka tangan (padan muka!), menyiapkan hidangan dengan Makcik sebagai tukang tengok, bertengek di sebiji kelapa tua di tengah kebun dalam sesi temubual tak rasmi di tengah hari dan bicara lewat kegelapan malam sambil menunggu kantuk tiba membuatkan aku tiba-tiba rindu pada Mek. (p/s: aku orang Timur, jadi panggilan Mek lebih akrab berbanding ibu atau mak)

Mek juga seperti Makcik. Namun, oleh kerana kami keluarga yang besar, jadi dia tidak perlu meluahkan pada orang luar, cukup dengan kami anak beranak. Biasanya akulah yang jadi mangsanya. Sebab aku belum berpunya dan tidak banyak tanggungjawap (padan muka lagi!). Adik aku buat silap, aku yang kena leter. Mek tak puas hati dengan abang aku atau kakak ipar aku, aku yang tukang dengar bebelannya. Kakak aku buat hal, aku yang jadi kaunter lepas geram dia. Dan kalau dia tak puas hati dengan kedegilan aku, as usual :), kakak aku yang dia cari!

Aku akui, aku amat jarang menghabiskan masa bersamanya sejak aku berhijrah ke bandar. Walaupun punya sebab-sebab tertentu (terlalu peribadi untuk dikongsi bersama, cuma beberapa orang yang tahu!) yang tidak perlu diterangkan, jauh di sudut hati, aku merindui masa-masa bersamanya. Seperti zaman kanak-kanakku dahulu, sebelum aku melangkah ke alam asrama penuh, kolej dan seterusnya universiti. Sekarang aku cuma pulang untuk hari raya puasa. Demi Mek. Itupun bukan setiap tahun. Maaf Mek, aku punya sebab untuk itu. Aku tahu dan sedar, kau memahaminya walaupun tidak ke akar umbinya.

Dulu, aku sering menemaninya membuat kuih-kuih untuk jualan, kadang-kadang sampai jam tiga atau empat pagi. Masa itu , kakak dan abang sama ada telah dibuai mimpi, atau jauh menuntut ilmu. Itulah masa aku dengannya. Maklumlah, dalam bilangan ahli keluarga yang ramai, agak susah untuk mendominasi masa dan perhatiannya. Tambahan pula, aku bukan orang yang suka bercakap tanpa isi. Dan kala malam atau dinihari itu, bertemankan api pelita (masa itu, rumahku tiada bekalan elektrik), aku dengan bukuku dan dia dengan kerjanya! Dan sambil-sambil itu, dia akan bercerita denganku. Tentang alam. Tentang agama. Tentang pengorbanan. Tentang hidup.

Betapa aku rindukan saat itu! Mek, hujung minggu ini aku pulang!

Tuesday, July 14, 2009

Kingdom of Buyau: Part I

Manggis oh manggis!



Kami tiba di Buyau ketika hari hampir bertambah usia. Dalam kepekatan tengah malam, perkara pertama yang dibuat oleh Mas dan Along ialah menjolok manggis. Aku masih agak segan, maklumlah baru pertama kali bertandang ke sini, tersenyum sahaja sambil menurunkan beg-beg dari kereta sambil menemankan Makcik dan suami Along melihat kerenah mereka berdua. Namun, sempat juga merasa tiga biji manggis selepas itu.

Keesokan harinya, selepas bersarapan, aku dan Mas terus ke pokok manggis di belakang rumah. Sambil mengait (mengait ke?) buah manggis, kami berkelah di situ. Makan buah sambil berbicara tentang alam dan persoalan hidup. Sempat lagi ada sesi kaunseling, gitu! Rasanya sempat juga sekilo dua manggis aku makan, sebelum perutku buat hal. Ala, belum ke ‘bilik kecil’ lagi pagi ini! ;) Mandi pun belum! Sempat berus gigi, cuci muka dan pakai contact lens sahaja!

Then, sesi makan buah bersambung. Mas sempat mencapai BF dia untuk merakamkan suasana Buyau. Agak terkilan, kerana abangku menggunakan digicam kami. Kalau tidak ada juga kuambil gambar awan berarak itu! Lovely and fascinating! So, untuk gambar-gambar menarik kembara ini, tunggu laporan seterusnya, selepas aku dapat salinannya, ok!

Hari kedua dan terakhir, selepas mandi dan menunggu Mas bangun, aku bersarapan dengan roti cicah kuah durian yang Makcik buat semalam. Sempat menjolok manggis di belakang rumah. Tetapi agak kecewa, kerana tidak banyak dapat. Buah-buah berada tinggi-tinggi. Penat sahaja, bah! Tiba-tiba teringatkan seseorang. Alangkah bagusnya jika dia di sini sekarang. Boleh aku gunakan sebagai tukang kait aku! Hahahaha!

Hampir tengah hari, setelah berjaya membuka mangga pintu kebun yang hampir berkarat, aku dah Mas, meredah semak dan belukar kecil menuju pokok-pokok manggis. Hah! Buah-buahnya berada di dahan yang rendang sahaja, membolehkan aku memetiknya sahaja. Penuh satu besen! Puas hati aku! Sambil petik, sambil makan. Huh, sempat makan lagi! Banyak jugak!

Kala aku masuk ke dalam semak, empat puluh tujuh ekor nyamuk telah datang menyambut kehadiran aku. (ini ayat Mas ni!) Aku pun berusaha menjolok manggis itu, tetapi tidak sampai. Maklumlah, ketinggian tidak membenarkan! Bak kata Attok, bukan tak cukup inci, tapi tak cukup kaki! (Eleh, macamlah dia tu tinggi sangat!).

Hujung mulut botol yang telah diterbalikkan yang mana muncungnya telah disumbat ke ladam sebatang kayu setinggi dua kali aku dan bontot botol tersebut telah dilobangkan bagi menjadi tempat persinggahan sementara manggis manggis yang kurodok tangkainya daripada jatuh ke tanah. Itulah pengait manggis. (lihat gambar dalam laporan akan datang).

Proses ini bagi mengelakkan tekanan terhadap kulit buah manggis yang hitam legam dan juga langkah keselamatan bagi melindungi isi buahnya yang putih bersih dari dilebamkan akibat lantunan kulitnya yang hitam tadi ke tanah (ini ayat Mas jugak!).

Sampai berbintat kulit tangan aku disinggahi nyamuk. Dan ada ketikanya, aku ralit menjolok manggis, sampaikan kakiku terluka dek gurisan kayu mati. Alah, manggis punya pasal! Demi kerana manggis… Tak cukup dengan besen, Mas bawak beg plastik, besarnya ya amat! Hampir separuh penuh juga beg itu jika tidak aku makan separuh isinya dalam semak itu.Hampir petang kami di kebun. Kalau tidak Along dan suami datang, rasanya kami masih di sini. Makcik menebas sikit-sikit, Mas dengan BFnya merakam sahabat flora di hutan kecil ini dan aku sambil menghabiskan manggis! Penat tapi seronok!

Kami kelaparan, walaupun telah makan sebelumnya. Jadi, bekerjasama menyediakan lunch yang sangat ringkas. Nasi, ikan goreng sambal dan sayur sawi. Kami sekeluarga (aik, bila masa pulak aku jadi ahli keluarga minah ni?) bersembang sambil makan. Kemudian, aku sambung makan manggis, sambil Mas menyambung tidur. Makcik di dapur dengan urusannya. Along dan suami menghilang ke laman rumah.

Kami bertolak dari Buyau seusai/selepas Mas dan Makcik solat Magrib. Tau sahajalah orang tua, lambatnya bersiap, lepas satu, satu lagi hendak dibuatnya. Hampir jam sembilan juga kami sampai ke Seremban, sebelum bertolak ke KL. Kalau bukan aku menggunakan public transport, mau satu kereta aku angkut manggis kot!

Dan pagi tadi, bangun sahaja jam 3.30 pagi, aku makan beberapa biji manggis sebelum aku mengadap computer, menyiapkan tugasan kakak dan kerja-kerjaku sebelum aku kembali menyambung tidur jam 11 lebih. Bangun dari tidur dalam jam 2 lebih, aku menghabiskan manggis-manggis yang tinggal. Ahh…nikmatnya!

Rasanya dalam sehari dua ini, aku telah melahap (bukan tahap makan lagi dah!) kurang lebih 10 kg manggis! Mungkin lebih kot! Gila betul! Betul-betul aku chentakan manggis ini kan!

Ahh, manggis oh manggis!