Thursday, July 30, 2009

Kamu, sudah-sudahlah merasa bersalah!


Pagi hari, aku dikejutkan oleh sms dari sahabat lama, bertanyakan keputusan temuduga yang kami sama-sama hadiri beberapa hari lalu sambil menyatakan kegembiraannya. Dalam suhu badan yang agak meninggi, aku membalas akan memeriksa peti surat mayaku kemudian. Lalu meneruskan tidur yang baru bermula hampir dua jam lalu.

Selang tengahari, ada 'akak' yang baru kutemui pada temuduga itu turut menelefon, bertanyakan perkara yang sama. Dia juga gembira. Dan aku membalas dengan jawapan yang sama seperti sebelumnya. Lalu, aku bangun meneruskan agenda harian. Melakukan senaman ringan agar badan lebih 'terjaga' dan segar. Membersihkan diri. Menyediakan makanan ringkas. Dan bersedia di hadapan laptop untuk menyambung karya yang telah terlayak tarikh penghantarannya pada editorku! :)

Seperti kebanyakan orang (aku fikir!), aku memeriksa laman blog dan menekan pautan ke peti surat maya rasmi dan peribadi. Rasmi: tiada apa yang memerlukan tindakan segera, utusan rasm biasa-biasa sahaja. Peribadi: juga warkah maya yang biasa, tiada berita yang tersebut. Lalu kubalas mesej dan panggilan mereka; menyatakan tiada apa-apa berita. Mereka tergamam, seakan tidak percaya. Aduhai!

Ada kehampaan sedikit. Namun, kupujuk hati. Mungkin sekejap lagi. Dan kuteruskan kerja-kerja harian. Membaca dan menyelidik. Mencoret dan menitip idea yang diilhamkan Ilahi. Dan meladeni urusan harian. Tika lembayung senja datang, seorang lagi teman menelefon. Katanya ingin berkongsi kegembiraan mendapat jawapan positif. Namun, untuk kali ketiga, aku mengulangi jawapan yang sama! Dan dia akas merasa bersalah. Dia tanpa ragu menjangkakan bahawa aku antara yang terpilih. Sangkaan yang sama oleh dua teman terdahulu. Jangan begitu, kawan. Semuanya di tangan Dia! Aku sedikit pun tidak merasa sedih tentang ini.

Aku memujuk diri. Masih baru tempohnya. Mungkin esok atau lusa aku akan mendapat jawapanku. Mungkin 'bahagian'ku lebih besar dari sahabat berdua itu. Bukan meninggi diri, namun aku sedar dan maklum tentang kelebihan dan kekurangan diri. Aku rasa aku lebih berusia dan lebih berpengalaman tentang itu daripada mereka yang menemuduga. Lagipun, ini memang bidangku. Aku memang memang mempunyai ilmu dan kemahiran mengenainya. Memang terlatih untuk itu.

Bagaimana aku aku ungkapkan apa yang ada dalam dada ini? Bukan sekali dua aku mengalami situasi ini. Malah, terkadang ia melemahkan semangat. Terkadang terfikir sesuatu. Apa yang diperlukan oleh para majikan semua, ya? Kemahiran dan ilmu? Pengalaman? Ketrampilan? Personaliti? Atau mungkin, kemahiran menjawap soalan penemuduga? Atau mereka sengaja mencari mereka yang agak baru dalam bidang ini dengan tujuan untuk menjimatkan kos operasi? Atau perlukan hubungan 'kronisme'? Jika bukan kemahiran dan pengalaman, apa lagi yang lebih diperlukan?

Namun, aku masih merasa amat bersyukur atas anugerah Dia kepadaku selama ini. Mungkin rezekiku ada tertulis di tempat lain. Atau lebih daripada ini. Lagipun, aku masih boleh bertahan di bumiNya. Apa pun, usaha dan tawakal tidak akan kuputuskan hayatnya.


Amin.


No comments:

Post a Comment