Tuesday, July 14, 2009

Kingdom of Buyau: Part I

Manggis oh manggis!



Kami tiba di Buyau ketika hari hampir bertambah usia. Dalam kepekatan tengah malam, perkara pertama yang dibuat oleh Mas dan Along ialah menjolok manggis. Aku masih agak segan, maklumlah baru pertama kali bertandang ke sini, tersenyum sahaja sambil menurunkan beg-beg dari kereta sambil menemankan Makcik dan suami Along melihat kerenah mereka berdua. Namun, sempat juga merasa tiga biji manggis selepas itu.

Keesokan harinya, selepas bersarapan, aku dan Mas terus ke pokok manggis di belakang rumah. Sambil mengait (mengait ke?) buah manggis, kami berkelah di situ. Makan buah sambil berbicara tentang alam dan persoalan hidup. Sempat lagi ada sesi kaunseling, gitu! Rasanya sempat juga sekilo dua manggis aku makan, sebelum perutku buat hal. Ala, belum ke ‘bilik kecil’ lagi pagi ini! ;) Mandi pun belum! Sempat berus gigi, cuci muka dan pakai contact lens sahaja!

Then, sesi makan buah bersambung. Mas sempat mencapai BF dia untuk merakamkan suasana Buyau. Agak terkilan, kerana abangku menggunakan digicam kami. Kalau tidak ada juga kuambil gambar awan berarak itu! Lovely and fascinating! So, untuk gambar-gambar menarik kembara ini, tunggu laporan seterusnya, selepas aku dapat salinannya, ok!

Hari kedua dan terakhir, selepas mandi dan menunggu Mas bangun, aku bersarapan dengan roti cicah kuah durian yang Makcik buat semalam. Sempat menjolok manggis di belakang rumah. Tetapi agak kecewa, kerana tidak banyak dapat. Buah-buah berada tinggi-tinggi. Penat sahaja, bah! Tiba-tiba teringatkan seseorang. Alangkah bagusnya jika dia di sini sekarang. Boleh aku gunakan sebagai tukang kait aku! Hahahaha!

Hampir tengah hari, setelah berjaya membuka mangga pintu kebun yang hampir berkarat, aku dah Mas, meredah semak dan belukar kecil menuju pokok-pokok manggis. Hah! Buah-buahnya berada di dahan yang rendang sahaja, membolehkan aku memetiknya sahaja. Penuh satu besen! Puas hati aku! Sambil petik, sambil makan. Huh, sempat makan lagi! Banyak jugak!

Kala aku masuk ke dalam semak, empat puluh tujuh ekor nyamuk telah datang menyambut kehadiran aku. (ini ayat Mas ni!) Aku pun berusaha menjolok manggis itu, tetapi tidak sampai. Maklumlah, ketinggian tidak membenarkan! Bak kata Attok, bukan tak cukup inci, tapi tak cukup kaki! (Eleh, macamlah dia tu tinggi sangat!).

Hujung mulut botol yang telah diterbalikkan yang mana muncungnya telah disumbat ke ladam sebatang kayu setinggi dua kali aku dan bontot botol tersebut telah dilobangkan bagi menjadi tempat persinggahan sementara manggis manggis yang kurodok tangkainya daripada jatuh ke tanah. Itulah pengait manggis. (lihat gambar dalam laporan akan datang).

Proses ini bagi mengelakkan tekanan terhadap kulit buah manggis yang hitam legam dan juga langkah keselamatan bagi melindungi isi buahnya yang putih bersih dari dilebamkan akibat lantunan kulitnya yang hitam tadi ke tanah (ini ayat Mas jugak!).

Sampai berbintat kulit tangan aku disinggahi nyamuk. Dan ada ketikanya, aku ralit menjolok manggis, sampaikan kakiku terluka dek gurisan kayu mati. Alah, manggis punya pasal! Demi kerana manggis… Tak cukup dengan besen, Mas bawak beg plastik, besarnya ya amat! Hampir separuh penuh juga beg itu jika tidak aku makan separuh isinya dalam semak itu.Hampir petang kami di kebun. Kalau tidak Along dan suami datang, rasanya kami masih di sini. Makcik menebas sikit-sikit, Mas dengan BFnya merakam sahabat flora di hutan kecil ini dan aku sambil menghabiskan manggis! Penat tapi seronok!

Kami kelaparan, walaupun telah makan sebelumnya. Jadi, bekerjasama menyediakan lunch yang sangat ringkas. Nasi, ikan goreng sambal dan sayur sawi. Kami sekeluarga (aik, bila masa pulak aku jadi ahli keluarga minah ni?) bersembang sambil makan. Kemudian, aku sambung makan manggis, sambil Mas menyambung tidur. Makcik di dapur dengan urusannya. Along dan suami menghilang ke laman rumah.

Kami bertolak dari Buyau seusai/selepas Mas dan Makcik solat Magrib. Tau sahajalah orang tua, lambatnya bersiap, lepas satu, satu lagi hendak dibuatnya. Hampir jam sembilan juga kami sampai ke Seremban, sebelum bertolak ke KL. Kalau bukan aku menggunakan public transport, mau satu kereta aku angkut manggis kot!

Dan pagi tadi, bangun sahaja jam 3.30 pagi, aku makan beberapa biji manggis sebelum aku mengadap computer, menyiapkan tugasan kakak dan kerja-kerjaku sebelum aku kembali menyambung tidur jam 11 lebih. Bangun dari tidur dalam jam 2 lebih, aku menghabiskan manggis-manggis yang tinggal. Ahh…nikmatnya!

Rasanya dalam sehari dua ini, aku telah melahap (bukan tahap makan lagi dah!) kurang lebih 10 kg manggis! Mungkin lebih kot! Gila betul! Betul-betul aku chentakan manggis ini kan!

Ahh, manggis oh manggis!

No comments:

Post a Comment