Khamis lalu, 5 November 2009, aku berpeluang menonton teater Cuci The Musical (CTM) bersama seorang teman lama. Walaupun aku agak terlambat tiba tetapi masih tepat pada masa tirai persembahan dibuka. Untuk sinopsis cerita, boleh rujuk di sini.
Oleh kerana CTM adalah adaptasi daripada filem Cuci, aku menjangkakan ia bersifat komedi dengan aksi-aksi yang melucukan. Namun yang tidak aku jangkakan ialah ia mampu membuatkan aku ketawa dari awal persembahan sehinggalah tirai dilabuhkan. Jangka masa 8.30 malam sehingga awal 12.30 pagi tidak terasa lambat berlalu. Ia memang menghiburkan!
Terus terang aku katakan bahawa aku bukanlah peminat cerita-cerita komedi atau hiburan ringan seperti ini. Aku lebih berminat dengan karya-karya yang sarat nilai estetikanya dan ‘berat’ yang mampu membuatkan aku berfikir melangkaui apa yang dipersembahkan. Namun lakonan bersahaja Afdlin Shauki, Hans Isaac, AC Mizal dan Awie berjaya memberi suntikan komedi sehingga tenggelam Vanida Imran yang sememangnya tidak dinafikan bakat lakonannya. Lawak-lawaknya amat subtle dan tidak over sebagaimana karya-karya komedi yang lain.
Aku bukanlah orang yang tahu tentang dunia seni ini, tetapi sebagai peminat biasa karya kreatif sebegini, CTM wajar diberi pujian. Walaupun props dan backdrop tidak sehebat Puteri Gunung Ledang The Musical, namun nyanyian para pelakonnya mengalahkan nama-nama besar dalam P.Ramlee The Musical. Adibah Noor tidak menghampakan sehingga mendapat standing ovation daripada beberapa penonton mat saleh malam itu. Aku turut mengagumi Hans yang rupa-rupanya mampu menyanyi dengan baik. Para pelakon tambahan juga tidak mengecewakan.
Aku memang bukan muka baru di Istana Budaya, malah boleh dikatakan aku telah mengikuti hampir semua persembahan di sini, sama ada atas undangan ataupun biaya sendiri. Ini satu cara aku menghiburkan diri dan mengisi minda. Di saat aku sarat dengan dugaan dan ujianNya, CTM mampu membuatkan aku kembali bersemangat. Aku sedar bahawa dalam kesakitan hidup, masih ada ‘sebab’ untuk tertawa.
Terima kasih Tuhan!
p/s: Hujung bulan ini ada pementasan Natrah. Ada sahabat dari jauh awal berpesan untuk pastikan aku membawanya menonton. Ada lagi yang mahu turut serta?
No comments:
Post a Comment