Thursday, November 12, 2009

Menyirat Keikhlasan

Aku tahu semua orang mempunyai cabaran dan dugaan hidup yang tersendiri. Dalam pelbagai bentuk dan peringkat ujian. Kesukaran dan kesakitan hidup mengajar aku banyak perkara. Kegagalan dan kekecewaan membuatkan aku begitu tertekan, tetapi ia juga mendatangkan kekuatan dalam membina jati diri. Yang terpenting adalah bukan apa yang terjadi dengan kita atau apa yang menimpa kita, namun sikap kita dalam menghadapi situasi itu. Apa yang kita belajar daripadanya. Bak kat Socrates;hidup yang tidak mendapat tentangan ialah hidup yang tidak berharga.

Hidupku ini adalah sesuatu yang amat berharga. Dan aku mula mengerti bahawa hidup kita di dunia ini adalah satu perjuangan. Perjuangan mencari erti. Kita berjuang untuk membuktikan sesuatu. Material dan/atau spiritual. Musuh terbesar kita ialah ketiadaan makna dalam hidup. Dan diri sendiri. Sesetengah daripada kita berjaya dalam perjuangan mereka. Ada juga yang masih berjuang. Sepertiku.

Namun hidup ini terlalu singkat untuk membuktikan segala-galanya. Dan daripada hidup, aku belajar menjadi seorang yang ikhlas.Ikhlas menjadi diri sendiri. Ikhlas menerima kekurangan diri. Ikhlas menghadapi segala kegagalan hidup. Ikhlas memberi tanpa mengharapkan balasan.

Melaluinya, aku dapat menikmati suatu rasa yang indah. Sebenarnya dalam segala di dunia ini memiliki keindahan, cuma tidak semua yang dapat melihatnya. Namun segala yang indah itulah yang sukar untuk dinikmati. Aku bersyukur dengan kurniaan nikmatNya. Ketenangan juga adalah sesuatu yang indah. Aku harap dan berdoa agar aku mampu menikmati keindahan ini buat satu tempoh yang tiada sudahnya.

Amin.

No comments:

Post a Comment