Tuesday, December 1, 2009

Duhai Teman...

Teman,

Aku kembali menjadi pengharap yang setia. Bersendirian membuatkan aku mengenal diri. Apa yang aku ingini dalam hidup. Apa yang telah kulalui membuatkan aku sedar, kehidupan adalah sesuatu yang fana. Hidup ini singkat. Amat singkat. Semuanya terasa merangkul.

Ada perkara yang berlaku ada kalanya tidak ingin kulakukan. Ada perkara yang memalukan diri sendiri. Ada perkara yang aku harapkan berlaku sebagaimana apa yang aku harapkan dan ada perkara berlaku sebaliknya. Kembara hidup ini mengajar aku banyak perkara. Kesabaran. Keberanian. Ketabahan. Keegoan. Prinsip diri. Takdir. Hikmah. Semuanya bergabung menjadi satu. Semuanya mengajar aku kembali kepada diri sendiri, kembali kepadaNya.

Hidup ini terlalu singkat untuk terus hanyut dalam ilusi. Terkadang, kita, tanpa sedar, terlalu mengejar sesuatu sehingga terlupa meluangkan walau sesaat untuk berfikir. Tentang makna sebuah kehidupan. Terkadang, kita terlupa untuk menghargai apa yang ada di sekeliling kita, sebaliknya kita banyak mensia-siakan waktu dan tenaga yang ada dengan mendambakan sesuatu yang belum kita miliki sedangkan apa yang telah kita miliki masa ini adalah apa yang kita dambakan sebelum ini.

Kita juga seringkali terlupa bahawa yang paling penting dalam hidup ini adalah bukan apa yang telah terjadi pada kita tetapi sikap kita dalam menangani apa yang telah menimpa kita. Segala apa yang berlaku mempunyai keindahan yang tersendiri, tetapi tidak semua daripada kita dapat menikmatinya. Hidup ini tidak selalunya indah, tetapi segala yang indah itu akan hidup dalam kenangan kita.

Aku mula mengerti akan makna hidup dalam erti kata yang sebenar. Kehidupan yang sebenar rupanya terletak pada kebahagian yang kita rasai sesudah kita berduka, kejernihan jiwa setelah dilanda duga dan uji, kasih sayang seakhirnya perbalahan, kejayaan yang dicapai selepas kegagalan demi kegalan dan harapan yang memenuhi dada kita setelah kita hampir berputus asa untuk hidup. Rupanya, selama ini, Tuhan telah menempatkan penunjuk kepada cahaya yang terang dalam setiap jiwa daripada kita, tetapi kita sahaja yang berkeras mencari kehidupan di luar diri kita, tidak sedar apa yang dicari selama ini ada dalam diri kita sendiri. Sehinggalah kita bertemu cahaya itu. Itu yang membuatkan hidup ini penuh bererti!

Jauh di sudut hati, dalam kesibukan rutin harian, terkadang aku merindui bicara dinihari kita sewaktu dulu. Dalam kembara hidup yang singkat kita mencuri waktu; dalam jeda waktu yang sepatutnya sudah dilamun mimpi, untuk kembali mengumpul kudrat untuk meneruskan rancangan pada keesokkan hari, tapi kita masih tegar dan bugar. Hari demi hari, dalam celahan lagu alam dinihari, kita berbicara tentang hidup dan kehidupan.

Tentang ruwetnya kehidupan kini. Betapa payah aku menjadi wanita moden dalam ruang lingkup yang terbatas. Betapa seksanya kau dalam memilih teman untuk berkongsi hidup dalam dunia sekarang penghuninya hampir kepupusan santunnya. Tentang harapan dan impian masa depan. Tentang igauan masa lampau. Tentang segala-galanya!

Waktu bagaikan statik, dan kita ibarat penghasrat yang membara dengan naif dalam pencarian sesuatu yang bernama ketenangan. Dalam kesempatan yang terdingin oleh embun hening, kita akhirnya ketemu apa yang dicari. Ketenangan itu adalah sesuatu yang indah untuk dinikmati, namun yang indah itulah yang sukar untuk dicari dan dimiliki. Dan aku amat bersyukur dan bertuah diberi kesempatan untuk menikmati keindahan itu bersamamu walau sebentar cuma.

Mengenalimu, walaupun tidak seperti biasa, membuatkan aku lebih mengenali diriku sendiri. Bicara kita di hujung talian, bertukar-tukar surat maya dan sesekali berbual di laman skrin meninggalkan kesan yang mendalam. Kau membuatkanku lebih menghargai hidup. Lebih ....

Betapa aku ingin kembali ke saat itu. Cukuplah jika kita mampu mengimbau kembali rentetan suka duka sepanjang perjalanan menjadi teman yang mampu berkongsi rasa. Ramai antara kita yang berkawan dan bersahabat tetapi tidak ramai antara kita yang mampu menjadi teman yang akrab. Seperti kita.

Namun, realitinya, tiada siapa yang mampu hidup ke belakang. Kita cuma mampu berupaya memandang ke hadapan. Itulah kehidupan.

Alangkah!

No comments:

Post a Comment