Monday, March 29, 2010

10 Juta Pulu$

10 Juta Pulus
Masdalifadzlie M Saaid
PTS Fortuna Sdn. Bhd.


Sejujurnya, amat sukar untuk membuatkan orang lain ketawa. Apatah lagi jika tidak bersua wajah tatkala berlelucon. Dan lebih-lebih lagi untuk menulis cerita humor. Ia memerlukan imaginasi dan daya ‘lawak’ yang bukan sedikit!

Membacanya buat kali pertama membuatkan aku sedikit terkilan. Bukan apa, sebagai editor, seawal halaman pertama lagi sudah kutemui kesilapan yang sepatutnya tidak berlaku dan ini sedikit sebanyak merentap rentak pembacaan. Dan adakah patut kemeja diberi penjodoh bilangan ‘sebuah’? Aduhai!

Dan aku kembali membacanya buat kali kedua dengan entiti sebagai pembaca santai. Bak kata blurbnya, ‘Ini cuma cerita biasa.’ Ya, tidak dinafikan ia sebuah cerita biasa sahaja. Plotnya juga biasa-biasa sahaja. Cerita dua sahabat yang hidup dalam dunia futuristik (walaupun tidak dinyatakan dengan tepat dalam cerita). Muncul drakula dan tunangnya ‘memeriahkan’ suasana. Ada adegan kreatif, lucu, mencemaskan,menyakitkan hati dan sebagainya. Macam cerita-cerita biasa.

Idea asal cerita ini mungkin menarik tetapi olahan dan penceritaannya membuatkan unsur humor itu tidak begitu menonjol. Idea drakula ‘vegetarian’ juga pernah ditulis sebelum ini. Menamakan syarikat atau tempat dengan nama atau gelaran yang dianggap kelakar juga stereotaip.

Ilustrasi kulit depannya juga biasa-biasa sahaja. Malah percubaan untuk menyuntik elemen humor padanya, kurasakan tidak menjadi. Terus terang aku katakan kulit depannya ‘merendahkan’ kualiti 10JP. Setelah mengikuti blog penulisnya, aku lebih gemar illustrasi awal yang bagiku klasik, segar dan menepati isi kandungan 10JP ini. Santai dan bergaya.

Bagi seorang peminat karya bukan humor seperti aku, 10JP mungkin bukan bahan bacaan pilihan. Apa yang boleh dipuji dalam 10JP ini adalah ketiadaan lawak murahan atau berbaur 18SX dan dialog sarkastik yang merendahkan moral. Sesekali ia mampu membuatkan aku tersenyum kecil, walaupun tidaklah sampai ketawa terbahak-bahak.

Untuk memberi lawak bersahaja dan ‘bijak’, mungkin boleh mencontohi Clive Cussler dalam buku-bukunya. Bukan berkiblatkan barat, tetapi inti naratif dan plot penceritaannya yang segar, pantas dan tidak lewah. Jika itu yang cuba dieksperimentasikan oleh penulis buku ini.

Namun, aku lebih gemar jika penulis kekal dengan genre fantasinya kerana ia menyerlahkan bakat penulisan, kreativiti dan imaginasi beliau. Ya, Jundak, teruskan sahaja dengan Kembara Lang Surya!

Selamat Maju Jaya!

No comments:

Post a Comment