Wednesday, March 31, 2010

Nasi oh Nasi!

Ada satu perkara yang ingin kukongsikan. Pelik, kelakar tapi benar. Sudah menjadi habit atau entah! Tapi bila kufikir balik, biar betul!

Aku jarang makan nasi di rumah. Jadi, bila ke kedai, aku cuma membeli sekilo atau sekilo setengah beras. Itupun tahan berbulan-bulan. Kecuali jika menerima tetamu, cepatlah habisnya! Apa yang ingin kuceritakan ialah bila aku menanak beras yang terakhir dalam simpanan. Apa yang lucunya, ia mesti hangit! Seperti tadi! Hangit lagi!

Macam tadi. Oleh kerana lama sudah tak makan nasi, aku masuk dapur untuk masak. Untuk makan malam seterusnya bekal untuk sahur dinihari. Memang tabiatku untuk puasa Isnin dan Khamis jika tiada aral. Jadi selepas letak beras atas dapur, aku keluarkan bahan-bahan mentah untuk masak. Tadi, abang ipar ada menghantarkan lauk tempe goreng bercili kesukaanku, baki katering. Jadi, aku cuma mahu buat sayur campur dan tomyam sahaja. Cukuplah.

Oleh kerana aku hanya memerlukan 10 minit untuk buat semua itu, aku fikir lebih baik tunggu nasi masak dulu. Baru masak. Nanti boleh makan lauk panas-panas. Jadi aku kembali sambung kerja editorialku sedari subuh tadi.

Sedang ralit meneliti kamus bahasa Itali, aku tercium bau hangit. Alah, apartmentku bukannya besar sangat pun. Boleh nampak dapur dari bilikku. Asap berkepul-kepul. Apa lagi, aku terus berlari tutup api nasi, letak dua cili kering atas nasi dan tutup periuk. Lepas itu aku gelak sorang-sorang!

Hangit lagi!

Ini daripada pemerhatian aku selama tinggal kesoranganlah. Ia pasti terjadi. Terus aku teringat peristiwa ini. Seingatku, bila aku fikir balik, ia cuma terjadi bila beras tinggal secawan lebih seperti tadi. Sekali tanak. Biasanya cukup untuk dua atau tiga kali makan. Dulu, jika ini terjadi nasi yang tinggal cukup untuk sekali dua makan sahaja. Tapi, kali ini nampak gayanya, cukup untuk sekali saja. Lepas itu, aku terpaksa rendam periuk lagi. Esok baru basuh dan kena sental kuat-kuat.

Aduhai! Ini belum cerita bau hangit yang menerawang seisi rumah. Entahlah, apa jiran-jiran fikir. Pasti diorang gelak atau kutuk aku, kot!

Entahlah, pelik tapi benar. Kalau aku masak bila beras masih banyak, nasi tak pernah hangit pula. Tadi, bila tengok beras tinggal baki, terdetik dalam hati. Jangan hangit lagi, sudah. Tapi, jadi juga! Apa boleh buat! Setiap kali beras tinggal cukup untuk sekali tanak, pasti aku leka berkerja, membaca atau pun masuk ‘bilik kecil’. Dan nasi pasti hangit!

Kelakar, kan!

No comments:

Post a Comment